GOOD DAY

Wednesday, November 18, 2009

Save our Earth

Didik anak-anak pelihara alam sekitar

“BUMI yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa”. Itulah antara bait-bait lagu Hijau dendangan Zainal Abidin. Ia menceritakan mengenai kemusnahan alam sekitar akibat kerakusan manusia.

Sikap manusia memang menjadi faktor utama pencemaran alam sekitar. Buktinya kini berlaku perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, banjir kilat, kenaikan suhu global dan pencemaran udara serta air bertoksin.

Ketika ini pelbagai pihak tampil mempromosikan usaha memelihara alam sekitar. Namun ia masih di peringkat awal, kerana majoriti ahli masyarakat seolah-olah belum peka dengan masalah ini.

Banyak pihak yakin cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak. Pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya” adalah tepat untuk usaha ini.

Banyak yang boleh dilakukan untuk mendidik anak-anak mengenai alam sekitar. Antaranya menerusi “kepimpinan melalui teladan”. Anak-anak boleh diberikan buku-buku mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Anak-anak perlu diberitahu fakta-fakta bersifat realistik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula.

Banyak lagi yang boleh dilakukan termasuk:

* Mengasuh mereka menggunakan sumber alam secara berhemah terutamanya penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan boleh dikitar semula untuk menyiram pokok. Lampu dan peralatan elektrik lain perlu ditutup jika tidak digunakan lagi.

* Menggalakkan mereka membuang sampah di tempat sepatutnya. Didik mereka untuk kitar semula dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya. Wujudkan tong sampah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut.

* Ajar anak-anak mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitaran semula. Mereka boleh menambahkan tabungan dengan cara ini.

* Didik anak-anak membuat baja kompos dengan sisa makanan. Ia boleh digunakan untuk pokok bunga atau sayuran yang ditanam di halaman. Dengan ini, mereka akan turut dididik dengan konsep “berbakti kepada tanah”.

* Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan artikel-artikel tertentu untuk dijadikan scrap book atau ensiklopedia peribadi tentang topik yang menjadi minat mereka. Ia akan membantu menjana pemikiran mereka.

* Terapkan sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang lama dan jadikan kraftangan seperti beg, selimut atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubah suai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca.

* Pakaian anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada rumah-rumah kebajikan atau anak yatim. Ia dapat mendidik mereka menjadi pemurah.

* Bawa beg sendiri untuk membeli belah terutama ketika bersama anak-anak.

* Galakkan mereka menyertai program berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar.

Kita perlu sedar bahawa walaupun ia kelihatan kecil tetapi jika semua orang melakukannya, ia akan menghasilkan kesan yang besar untuk alam sekitar.

Semoga bait-bait akhir lagu Hijau iaitu “oh anak-anak, tak boleh merasa mandi laut, bersaing main ramai-ramai” tidak akan menjadi kenyataan. Biarkan ia sekadar peringatan untuk kita semua. Kita perlu bertindak sebelum segala-galanya terlambat.


Adapted by : Bundoora, Victoria, Australia, utusan.

* sebagai guru, menjadi tugas kita mendidik anak-anak bangsa dalam hal sedemikian juga...

1 comment:

Anonymous said...

Read also from "Seterusnya di sini"

Doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Ahlul Bayte as

About Me

My photo
im a future teacher...23rd years old and searching something i lost...

wow