GOOD DAY

Sunday, March 1, 2009

Sindrom cerai ekspres

Sindrom cerai ekspres

Menurut Dr.Fadzilah Kamsah, manusia biasa tidak terlepas daripada kesalahan atau kesilapan dan perlu diberi peluang seperti individu lain untuk meneruskan hidup masing-masing.

“Ramai juga mendapatkan khidmat kaunseling daripada saya dan masalahnya membabitkan keredaan ibu bapa dan mentua, persekitaran dan pelbagai lagi.

“Syukur kerana mereka tekun mengikuti apa yang saya cadangkan dan melakukannya kerana mahu menyelamatkan atau memastikan perkahwinan serta rumah tangga sentiasa dalam rukun damai,” katanya.

Beliau berkata, apabila pasangan menganggap perkahwinan itu sesuatu yang mudah, lebih mudah untuk mereka berpisah.

“Satu lagi perkara yang sering tidak diambil perhatian oleh pasangan ketika berkahwin ialah restu ibu bapa. Kajian mendapati 80 peratus daripada kadar perceraian di Lembah Klang berpunca daripada perkara itu,” katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Reda Allah SWT daripada ibu bapa.”

“Kerana itu, setiap pasangan digalak mendapatkan restu atau keredaan ibu bapa sebelum berkahwin,” katanya.

Selain itu, antara punca pasangan bercerai dalam tempoh singkat ialah kegagalan mendewasakan diri, di mana ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggung jawab sebagai suami atau isteri.

Ada kalanya mereka seolah-olah terlupa sudah menjadi menantu orang dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar semata-mata mahu menetapkan beraya di kampung siapa, sedangkan ia perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.

Selain itu, katanya, perceraian boleh berlaku apabila mentua gemar masuk campur dalam hal rumah tangga anak mereka walaupun tidak perlu melakukannya.

“Mentua digalakkan masuk campur jika anak mereka dipersia-siakan atau berlaku perkara yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Setakat hanya pertengkaran kecil, tidak perlu masuk campur. Beri saja nasihat dengan cara baik dan bukan mengarah menantu melakukan itu atau ini tanpa menyedari ia lebih banyak mendatangkan keburukan,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata perkahwinan bukan boleh dipermainkan kerana ia membabitkan kepentingan banyak pihak dan pelbagai lagi situasi mendatang yang tidak diketahui.

“Oleh itu, jika mahu berkahwin, pasangan dinasihatkan berfikir panjang dan tidak terburu-buru kerana institusi rumah tangga itu konsepnya untuk sepanjang hayat dan bukan suka-suka diruntuhkan,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa setiap pasangan perlu mengenali hati budi pasangan masing-masing dan jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan.

“Perkahwinan untuk sepanjang hayat dan itulah konsepnya yang sebenar. Jika tidak dapat mencapai persefahaman dari awal hubungan, lebih baik perkahwinan tidak diteruskan kerana bimbang berlaku perceraian,” katanya.

Menurut beliau, bukan mudah melafazkan cerai kerana perlu ada beberapa perkara membabitkan suami atau isteri yang membolehkan ia dilakukan.

Tiga perkara yang membolehkan suami menceraikan isteri tetapi selepas ia disahkan iaitu gila, berpenyakit sopak serta kusta dan ia hanya diketahui selepas pernikahan. Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan.

Mohd Tamyes turut memberi panduan mengikut syarak bagi lelaki mencari isteri seperti wajah wanita berkenaan, tapak tangan, keturunan serta agama.

Menurut beliau, wajah yang cantik pada pandangan seseorang lelaki itu menggambarkan keseluruhan fizikal wanita berkenaan, manakala tapak tangan jika bersih dan gebu pula menunjukkan kesuburan atau kesihatan.

“Selepas itu, lihat keturunannya sama ada baik atau sebaliknya dan yang akhir, pastikan wanita itu memiliki ilmu agama yang baik kerana agama mampu menjadi perisai kepada perkara keji dan mungkar,” katanya.

Mungkin sukar menemui empat perkara itu dalam diri setiap wanita yang mahu dijadikan isteri tetapi jika terlalu sukar, lelaki digalakkan mencari yang beragama kerana ia paling penting.

Sama juga pada wanita yang mencari calon suami, di mana mereka perlu memastikan lelaki itu bertanggungjawab, beriman, taat pada ibu bapa dan pelbagai lagi.

#adapted from hmetro, 1mac 2009

No comments:

About Me

My photo
im a future teacher...23rd years old and searching something i lost...

wow